
SANDAKAN: Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), mahu isu Perjanjian Malaysia 1963 diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Menurutnya, perkara tersebut sudah lebih dari 10 tahun dia perjuangkan sehingga menjadi isu arus perdana.
Namun, ianya masih belum diselesaikan sehingga ke hari ini.
“Saya setuju dan saya mahu, sayapun sudah buat usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kamu tanya saya jika saya setuju MA63 dilaksanakan, saya kata ya.”
“Saya percaya dilaksanakan atau tidak sebelum PRU? Tidak,” katanya.

Kata beliau dalam sidang media sempena Majlis Penerimaan Ahli Baru Parti Maju Sabah (SAPP) di Sandakan, pada Ahad.
Yong Teck Lee berkata lagi, dia juga yakin isu MA63 tidak akan dilaksanakan sebelum PRU15 ini.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan dilihat melewat-lewatkan pelaksanaan MA63 seperti bermain kuntau.
Hal ini kerana, beliau berpendapat isu itu akan menjadi isu utama yang akan dimainkan dalam PRU akan datang.
“Ini Kerajaan Persekutuan macam main kuntau, main Tai Chi ya. Dia kasi perlahan-perlahan. Jadi saya tidak yakin Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan MA63 sebelum PRU akan datang.”
“Saya tidak yakin, saya tidak berharap, maka MA63 akan menjadi isu utama Pilihan Raya Parlimen akan datang di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Namun, beliau sangat setuju bahawa masalah yang berkaitan dengan pembahagian pendapatan hasil cukai, hasil minyak, sempadan perairan, dan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak dapat diselesaikan dengan cepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga akan memberikan taklimat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung isu MA63 pada Sabtu depan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/