
Menteri Kesihatan memberikan nasihat kepada orang ramai supaya dapat meningkatkan langkah kesihatan awam bagi mencegah jangkitan varian COVID-19 baharu yang dikenali sebagai Omicron.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan, langkah kesihatan awam seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan amalan kebersihan perlu ditingkatkan lagi.
“Kita tahu varian Omicron mungkin lebih mudah ditularkan daripada varian Delta, tetapi kita belum tahu virulence (keterukan / keparahan) varian tersebut.
“Apa yang boleh kita lakukan dalam masa yang sama ialah meningkatkan amalan kesihatan awam dengan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, amalan kebersihan dan menambah baik pengaliran udara kawasan tertutup.
“Pastikan warga emas kita selamat dan ambil dos penggalak apabila ditawarkan,”– kata Khairy Jamaluddin di twitter rasminya.
Amaran telah diberikan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa varian baharu Omicron ini berisiko sangat tinggi di seluruh dunia, walaupun masih belum mendapat bukti tepat mengenai bahaya dan tahap penularan strain varian itu.

Tambahan lagi, Agensi kesihatan Pertubuham Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga memaklumkan strain COVID-19 baharu dari Afrika Selatan itu merupakan varian yang sangat berbeza.
WHO mengatakan semua negara perlu mengambil berat dengan meningkatkan pengawasan penularan varian itu bagi mengetahui kepantasan varian baharu itu merebak dan di mana yang dijangkiti.
Beberapa negara telah menyekat kemasukan rakyat Afrika Selatan dan tujuh negara yang diketahui dijangka terdapat varian Omicron.
Sentiasa menginovasi dan menginspirasi, berita dan banyak lagi di portal mysmedia.my