
Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan diketahui esok iaitu pada Rabu yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada jam 9 pagi.
Bekas Perdana Menteri itu membuat rayuan untuk elakkan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd (SRC) bernilai RM42 juta.
Keputusan rayuan akan diputuskan dari panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Prosiding terakhir pada Mei lalu, Najib telah mengemukakan 307 sebab dirinya tidak bersalah terhadap tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC.
Antara alasan beliau ialah, beliau menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali gagal menimbangkan bahawa ada ahli perniagaan lain yang menipu.
Keputusan yang dibuat Mohd Nazlan yang mensabitkan Najib itu telah dibuat pada 28 Julai 2020 dan ahli perniagaan yang dikatakan Najib itu ialah Low Taek Jho yang menipu dan memanipulasikan akaun bank milik beliau.
Najib juga mendakwa bahawa, Mohd Nazlan terkhilaf apabila mendapat dapatan bahawa pembelaannya mengenai sumbangan dari Raja Arab Saudi melalui tiga surat dan itu hanya cerita rekaan semata-mata, kata beliau.

Rayuan Najib telah ditetapkan mengikut prosiding yang dijadualkan iaitu untuk perdengaran selama 12 hari bermula 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April.
Walau bagaimanapun, atas permohonan pembelaan, panel tiga hakim memutuskan untuk melanjutkan prosiding dari 27 hingga 28 April dan 6 Mei lalu.
Najib selaku perayu telah diwakilik peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berada di pihak pendakwa.
17 Oktober 2020 lalu, Najib dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram.
Najib juga dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi kes penyalahgunaan kedudukan.
Namun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun sahaja kerana hakim memutuskan bahawa hukuman itu berjalan secara serentak.
Mahkamah membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaa hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal mysmedia.my