
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua penduduk yang terjejas akibat banjir supaya akur untuk berpindah jika diarahkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan mereka.
Beliau berkata arahan berpindah dilakukan atas beberapa faktor keselamatan serta sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan pihak berkuasa mengetahui ramalan cuaca atau sebarang bahaya mungkin berlaku diluar jangkaan semua pihak.
“Kita juga bimbang kerana banjir gelombang kedua boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Oleh itu, bila diarahkan berpindah elok patuh. Saya ada berjumpa mangsa banjir yang mengatakan mereka tidak sangka banjir boleh berlaku secara mendadak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Buntar pada selasa yang menempatkan 145 mangsa.
Tambahan pula, beliau juga meminta kepada negeri yang jarang berhadapan dengan situasi banjir untuk melakukan persediaan sewajarnya apabila Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca buruk bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Beliau juga berkata negeri yang sudah biasa mengalami banjir setiap tahun pasti telah melakukan banyak persediaan awal untuk menghadapi banjir seperti menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta keperluan lain apabila masuk musim tengkujuh.
Beliau juga berharap pihak kerajaan melakukan persediaan awal terutamanya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk menyediakan bot yang secukupnya.
Persediaan lain yang perlu dilakukan ialah kerja pembersihan sistem perparitan yang dapat mengurangkan kemusnahan akibat banjir.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal mysmedia.my