
Hujan lebat pada awal pagi hari ini di sekitar negeri Selangor menjadi kebimbangan besar bagi beberapa penduduk khususnya yang berada berhampiran kawasan terjejas akibat banjir sejak Jumaat lalu.
Laporan menyatakan hujan lebat turun di sekitar Shah Alam, Klang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang.
Selain itu, terdapat kawasan yang sudah surut sebelum ini selepas dilanda banjir sekarang kembali teruk dengan paras air banjir meningkat terutama di susur ke Plaza Tol Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie.
Kawasan tersebut pernah ditutup kira-kira 24 jam selama dua hari akibat hujan lebat pada 17 Disember, kemudian dibuka semula semalam.

Isu berikut menyebabkan berlaku kesesakan di Lebuhraya Guthrie sebelum susur Bukit Jelutong arah Pusat Bandar Shah Alam.
Menurut laporan ciapan @Plustrafik, beberapa lorong keluar dan satu lorong masuk di Plaza Shah Alam ditutup dan pengguna dinasihatkan menggunakan jalan lain.
Pada waktu yang sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis mengatakan bahawa banjir melanda di Batu Arang, Rawang dengan peningkatan air dilaporkan pada paras betis.

“Benar berlaku banjir di kawasan penduduk sehingga paras betis. Penduduk setempat dinasihatkan berpindah, namun masih belum mahu berpindah ke kawasan selamat.
“Pihak bomba membuat pemantauan dan bersedia dengan logistik sekiranya pemindahan dibuat,” katanya.
Sentiasa menginovasi dan menginspirasi, berita dan banyak lagi di portal mysmedia.my