
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyatakan bahawa tidak timbul isu pihak tersebut lewat mengkoordinasikan operasi menyelamat mangsa banjir tetapi setiap tanggungjawab telah diberikan kepada semua agensi untuk bertindak lebih awal.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata mesyuarat berhubung tentang pengurusan bencana pusat telah dijalankan pada 13 Sept lalu dan telah dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Semasa itu tanggungjawab kita berikan kepada semua agensi ‘responder’. Jadi mereka sudah faham dan tahu fungsi-fungsi yang perlu lakukan, sekiranya berlaku sesuatu bencana.-Katanya

“Bencana ini ada tiga tahap, yang pertama tempatan di daerah. Tahap kedua melibatkan lebih banyak daerah dan satu negeri, manakala tahap ketiga ialah tahap negara atau melibatkan dua atau tiga negeri. Jadi masing-masing sudah tahu”.-Katanya
Beliau berkata jika bencana berlaku di peringkat negeri, kerajaan negeri perlu melalui Setiausaha Kerajaan Negeri yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan mengambil alih pengemblengan semua agensi yang terlibat untuk mengatasi bencana.
Beliau juga turut menafikan laporan berita sebuah media yang mendakwa NADMA menghalang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) beroperasi, kerana tidak disytiharkan darurat.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal mysmedia.my