
Bencana alam termasuk banjir besar yang berlaku di beberapa buah negeri sehingga meragut hampir 50 nyawa manakala lima lagi dilapor hilang.
Bencana itu mengakhiri tahun 2021 yang turut menyaksikan rakyat bersatu hati dan bangkit untuk saling membantu selari dengan semangat Keluarga Malaysia.
Jumlah 48 korban setakat 27 Dis dikatakan paling tinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia. Banjir besar kali ini tidak dijangka apabila ia melanda Lembah Klang khususnya di Selangor yang padat dengan penduduk sehingga rakyat dari merata pelosok negara berusaha menabur bakti menghulur bantuan.
Hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur di Lembah Klang serta Bentong, Mentakab dan Temerloh Pahang tenggelam.
Kesannya ibarat dilanda tsunami, puluhan ribu mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara dan puluhan keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras manakala ribuan kenderaan pula terdampar dan musnah selepas ditenggelami banjir.
Kejutan itu bukan sekadar dirasai oleh penduduk di Lembah Klang yang nyata tidak bersedia menghadapi bencana alam itu malah pihak yang terlibat dalam mengendalikan bencana juga pada awalnya kelihatan agak kelam-kabut.

Tempoh 48 jam pertama bencana melanda menyaksikan keadaan huru-hara dalam kalangan agensi berkaitan yang seolah-olah hilang arah apabila suara-suara meminta bantuan dari segenap pelosok Lembah Klang menghujani media sosial.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata situasi di Selangor ini, ia agak kelam-kabut memandangkan negeri ini biasanya tidak terjejas apabila tiba musim tengkujuh.
Pasukan keselamatan iaitu bomba, tentera dan polis pula bertindak segera dan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap di kawasan terjejas teruk seperti Taman Sri Nanding di Hulu Langat, Taman Sri Muda di Shah Alam dan Bukit Changgang di Kuala Langat.
Tengah malam 18 Dis itu, koordinasi dibuat dan Perdana Menteri meminta Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia menggerakkan lebih banyak aset dengan fokus utama adalah menyelamatkan nyawa serta memastikan bekalan makanan disediakan untuk mangsa yang terperangkap.
Bangkit daripada kejutan bencana banjir besar itu, pelbagai pihak sama ada pensendirian atau badan bukan kerajaan tanpa mengira bangsa dan agama dari seluruh pelosok negara tampil menghulurkan bantuan dari segi keperluan asas serta pembersihan pasca banjir.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/