
Kejadian banjir di Negeri Melaka semakin memburuk selepas lebih 1,778 orang mangsa banjir dipindahkan dan ia melibatkan lebih 462 buah keluarga.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka juga meningkat kepada 20 pusat pemindahan.
Antara pusat pemindahan yang dibuka ialah di daerah Alor Gajah sebanyak 10 pusat dan di Melaka tengah sebanyak 8 pusat dan 2 buah pusat di Jasin.
“PPS yang terbaharu dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa di daerah Alor Gajah yang kini dalam proses pendaftaran,” katanya.
Beliau berkata jumlah mangsa tertinggi buat masa kini ialah di PPS SK Krubong yang menempatkan seramai 303 mangsa, diikuti PPS SK Taman Merdeka seramai 230 mangsa, PPS SRA JAIM Jelatang seramai 188 mangsa, PPS SK Seri Pengkalan seramai 165 mangsa dan PPS SK Batu Berendam 1 seramai 162 mangsa.
Tambahan pula, jumlah kawasan yang terjejas turut meningkat kepada 27 kawasan yang membabitkan 14 di daerah Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan empat di Jasin.
Kawasan Alor Gajah, kawasan terjejas membabitkan Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok China, Kampung Jeram, Kampung Belimbing, Kampung Pulau, Kampung Telok Berembang, Kampung Bukit Balai, Kampung Gangsa dan Taman Angkasa Nuri.
Manakala, di Melaka Tengah membabitkan Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah, Taman Merdeka Jaya, Taman Tamby Chik Karim, Rumah Awam Peringgit, Kampung Bachang Darat, Balai Panjang dan Bertam Malim.
Akhirnya di kawasan Jasin pula, kawasan yang terjejas ialah di Kampung Parit Penghulu, Kampung Lanchang Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Tasek.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/