
Ramai berpendapat tidak wajar untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri yang menyiasat sebarang kes yang melibatkan pegawainya.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata ianya jelas hanya mengundang pelbagai kesangsian oleh ramai pihak.
Beliau berkata sepatutnya kes sedemikian dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai bekas-bekas pegawai tertinggi badan perundangan dan pencegahan jenayah yang tidak berkepentingan supaya rakyat tidak mempertikai banyak perkara.
“Jadi saya rasa elok siasatan seperti ini terutama sekali kes-kes berprofil tinggi dibuat oleh satu jawatankuasa khas yang bebas, mungkin dianggotai oleh bekas hakim, bekas ketua polis atau bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.
Beliau berkata banyak pihak termasuk rakyat menyatakan rasa tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), badan yang berada di bawah SPRM itu berhubung kes dakwaan korupsi Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/