
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) menerusi program Cuci,Pulih dan Iqra 2.0 menyumbang sebanyak 100 naskah al-Quran kepada ahli kariah Surau Hamideen Seksyen 19 yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Mereka turut menyumbang 100 helai sejadah oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin). WUI turut menyumbang dua set al-Quran dengan setiap satunya memiliki tujuh jenis naskah al-Quran bertujuan mewujudkan ruangan Quran Corner di surau tersebut.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada Pengerusi Surau Hamideen, Ibrahim Talib dalam satu majlis yang diadakan di surau tersebut pada Khamis dan turut dihadiri Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.
Beliau berkata sumbangan berkenaan dihargai oleh pihaknya memandangkan ada ahli kariah yang berhadapan dengan kerosakan harta benda termasuk al-Quran.
“Dalam keadaan panik itu, kadang-kadang ada dalam kalangan mereka yang tertinggal al-Quran dan pelbagai lagi dokumen penting lain di rumah sehingga dirosakkan oleh banjir. Jadi apabila dapat sumbangan ini, Alhamdulillah memang kita hargai sangat terutamanya buat ahli kariah yang al-Quran mereka rosak,”Katanya
Ibrahim berkata, meskipun terdapat beberapa kawasan di situ yang selalu dilanda banjir namun bencana yang berlaku baru-baru ini benar-benar menjejaskan hampir seluruh penduduk di kawasan di situ.
Kejadian banjir di situ menyebabkan surau itu juga dinaiki air setinggi 1 meter dan banyak barang telah rosak seperti karpet, Al-Quran, perabot dan alatan-alatan lain.
Program Cuci, Pulih, Iqra’ 2.0, WUI telah menyediakan sebanyak 21,000 naskhah al-Quran infak bernilai RM1 juta melalui Tabung Gerakan Al-Quran bagi membantu golongan mangsa banjir.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/