
Seorang doktor dari sebuah klinik swasta bersama dengan tiga individu lain ditahan pihak polis untuk membantu siasatan penipuan pengeluaran kad vaksinasi Covid-19 yang palsu.
Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat, doktor lelaki dan pemilik klinik tersebut yang berusia lingkungan 60-an ditahan pada Isnin lepas.
Tiga individu iaitu penerima vaksin ditahan selepas hasil serbuan di klinik berkenaan pada Ahad.
Walau bagaimanapun, kesemua individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut mengenai kes tersebut masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Tambah Shafien, serbuan yang dilakukan di klinik berkenaan selepas pihak mereka menerima satu laporan berkaitan pengeluaran kad vaksinasi disyaki palsu.
Berdasarkan laporan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menerima empat aduan daripada sumber berbeza mengenai pengeluaran kad vaksinasi palsu oleh klinik berkenaan antara 1 Oktober hingga 11 Januari.
Hasil siasatan lanjut, empat individu yang dikatakan menerima vaksin di klinik itu tiada rekod vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera.
Tambah beliau, penahanan doktor berkenaan, polis turut merampas kad vaksinasi dan lain-lain dokumen yang berkaitan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal http://mysmedia.my