
Beberapa minggu ini terdapat sekurang-kurangnya 11 ekor penyu telah ditemukan mati terdampar di pantai atau terapung di perairan Terengganu pada bulan ini atas pelbagai sebab dan kebanyakannya berpunca dari termakan plastik.
Baru-baru ini seekor bangkai penyu ditemukan orang ramai terdampar di Pantai Kelulut, Marang selepas seekor penyu juga ditemukan mati terapung di perairan Pulau Kapas.
Pada 14 Januari lepas, seekor anak penyu ditemukan mati dan dipercayai ia mati berpunca dari termakan plastik di Pantai Pulau Kerengga di Marang Terengganu.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata, penyu betina seberat 60 kilogram sepanjang hampir satu meter dengan lebar hampir 0.60 meter yang mati ditemukan oleh orang awam.

Penyu yang dijumpai mati itu dipercayai berusia antara 18 hingga 20 tahun itu juga dipercayai mati akibat tertelan plastik.
“Hasil pemeriksaan dijalankan kakitangan Cawangan Taman Laut, Pengurusan dan Perlindungan Sumber Negeri Terengganu menjumpai gumpalan plastik dalam mulut penyu itu. Tiada sebarang kecederaan yang jelas pada bangkai penyu itu dan keadaannya yang hampir reput dan berbau, kita percaya penyu itu sudah mati beberapa hari di laut sebelum bangkainya dihanyutkan ke pantai,”Katanya.
Ruzaidi berkata pengunjung pantai peranginan dan nelayan dinasihatkan tidak membuang plastik kerana ia menjadi punca utama kematian penyu.
“Pembuangan plastik ke dalam laut akan membuatkan sampah itu timbul dan menyerupai obor-obor yang menjadi makanan penyu. Kita turut mengadakan kempen ‘Save Our Sea’ bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak membuang sampah ke laut”Katanya.
Pihak berkuasa juga menasihatkan orang ramai agar membawa pulang atau membuang semula plastik ke tempat yang sesuai supaya penyu dapat dikekalkan populasinya daripada pupus.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal http://mysmedia.my/