
Getaran jiwa melanda hatiku. Tersusun nada, irama dan lagu. Walau hanya sederhana tetapi tak mengapa. Moga dapat membangkitkan, sadarlah kamu wahai insan. Tak mungkin hilang, irama dan lagu. Bagaikan kembang, sentiasa bermadu. Andai dipisah lagu dan irama. Lemah tiada berjiwa, hampa.
DI ATAS antara bait-bait lagu berjudul GETARAN JIWA daripada salah satu filem Melayu Klasik lakonan Seniman Agung Allahyarham, Tan Sri P. Ramlee yang sentiasa melekat di jiwa dan hati anak seni.
Sambutan Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac sempena tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, perubahan ketara tarikh sambutan Hari Seniman Negara dari 29 Mei kepada 22 Mac adalah bagi menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham Seniman Agung P. Ramlee kepada industri kreatif tanah air.
“Hari Seniman Negara ini juga mengangkat karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang bukan sahaja telah berjaya melahirkan lebih ramai tokoh dan pakar industri kreatif malahan memperkenalkan Malaysia di mata dunia.”
Tan Sri Annuar Musa
Anuar berkata cadangan pertukaran tarikh dari 29 Mei kepada 22 Mac telah diteliti dan maklum balas daripada pelbagai persatuan, pertubuhan berkaitan telah diambil kira.
Dan seterusnya mendapat kelulusan Memorandum Kabinet yang dicadangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), katanya.
Selain mengiktiraf kecemerlangan industri kreatif yang terlibat dalam seni, Hari Seniman Negara juga, jelas Anuar, disambut dengan tujuan tertentu.
“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan apresiasi masyarakat terhadap peranan seni budaya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa khususnya ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.
“Sempena Hari Seniman Negara ini, KKMM turut berhasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan pemegang-pemegang taruh dalam penganjuran Majlis Pelancaran Hari Seniman Negara pada 22 Mac 2022.
“Ia juga bagi menghargai sumbangan dan peranan penggiat industri kreatif tanah air khususnya dalam membangun negara menerusi aktiviti seni, kreatif dan budaya serta usaha Kerajaan memartabatkan industri kreatif ke tahap yang lebih cemerlang.”
Tan Sri Annuar Musa
Tiada cacat cela Keluarga Malaysia diberi kesedaran tentang nilai seni peninggalan P.Ramlee sehingga kini tiada pengganti.
Justeru, Annuar berkata, nilai seni yang ditinggalkan bukan sahaja terletak pada karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam industri perfileman sebagai pengarah tetapi dalam banyak elemen.
Sebab itulah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjadi khazanah negara yang sangat berharga dan segar sehingga hari ini.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/