
Pihak bomba mencari Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis di tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah. (Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat)
IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui mati lemas akibat tersepit dalam kereta, selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas ke dalam tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis disahkan meninggal dunia, manakala ibu (30) dan adik perempuannya (4), tidak cedera.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah Malim Nawar menuju ke Ulu Dedap Sungai Jejawi untuk mengambil anak bongsu mereka di rumah pengasuh.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dipandu ibunya dalam perjalanan dari Malim Nawar ke Ulu Dedap. Hilang kawalan ketika melalui selekoh akibat terlanggar air bertakung, lalu menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kanan jalan dan masuk ke tali air.”
Superintendan Barudin Wariso

Menurutnya, ibu dan anak perempuannya sempat keluar melalui tingkap yang terbuka sebelum diselamatkan orang ramai di tempat kejadian.
Pada masa sama, kenderaan mangsa mula karam menyebabkan mangsa tidak dapat diselamatkan sebelum lemas dan dihanyutkan arus.
Barudin berkata, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menemui mayat mangsa di bahagian tempat duduk belakang kereta jenis Honda City kira-kira jam 8.12 malam.
“Setibanya jentera di lokasi, kami mendapati sebuah kereta dinaiki tiga mangsa tersebut terbabas ke dalam tali air berkedalaman 3.65 meter. Bagaimanapun ibu dan adik perempuannya (Muhamad Harith Sulayman) telah diselamatkan orang awam terlebih dahulu.”
Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/