
PETALING JAYA: Sekiranya Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Rokok Elektronik terus ditangguhkan, kerajaan bakal kehilangan hasil cukai sehingga RM1 bilion daripada produk vape. Ini merupakan kerugian kepada kerajaan kerana penggunaan produk vape semakin menyeluruh dalam kalangan rakyat.
Oleh itu, perubahan kawal selia dalam mengenakan cukai dan mengawal selia produk vape perlu dilakukan segera terutamanya terhadap produk e-cecair yang mengandungi nikotin.
Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre (DARE), Pankaj Kumar berkata, situasi itu tidak boleh dibiarkan kerana kerajaan bukan sahaja kehilangan hasil tetapi juga dilihat tidak mengambil tindakan untuk melindungi pengguna yang terus membeli produk vape yang tidak terkawal.
“Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menggunakan kuasanya di bawah undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan peraturan atau garis panduan mengenai produk vape, memandangkan rang undang-undang masih ditangguhkan.
“Dengan cara itu, KKM dapat memastikan produk dikawal selia dengan standard keselamatan dan kualiti yang baik. Lebih penting, kerajaan juga boleh mula mengutip cukai daripada produk itu,” katanya dalam kenyataan.
Cukai E-cecair

Tahun lalu, Menteri Kewangan mengumumkan cukai ke atas e-cecair yang mengandungi nikotin dalam Bajet 2022 kepada bermula 1 Januari 2022 pada harga RM1.20 setiap mililiter.
Menurut Pankaj, disebabkan vape kurang berbahaya daripada produk tembakau dan terbukti mengurangkan kelaziman merokok, kerajaan juga sepatutnya mempunyai sistem percukaian yang menggalakkan perokok untuk bertukar.
“Cukai ke atas produk vape sepatutnya berkadar risiko untuk menggalakkan perokok beralih kepada vape dan berhenti merokok. Duti eksais RM1.20 setiap mililiter seperti yang diumumkan sebelum ini terlalu tinggi dan akan menjadikan vape lebih mahal daripada rokok.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/