
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, khususnya persidangan sayap-sayap parti, wajar dijadikan forum untuk menyemarakkan lagi minat masyarakat terhadap perkembangan politik dengan membahaskan tema-tema yang lebih relevan.
Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, seorang penganalisis politik, berkata ia akan menjadi isu besar bagi PAU kerana terbukti bahawa orang ramai semakin tidak berminat dengan politik negara, seperti yang ditunjukkan oleh peratusan keluar mengundi dalam dua pilihan raya lepas, iaitu 54% di Johor dan 65% di Melaka.
“Kita mahukan kali ini dengan momentum kemenangan UMNO dalam dua pilhan raya lepas, mereka membuktikan kepada masyarakat dan melalui persidangan PAU ini, ketiga-tiga sayap ini mampu mengeluarkan satu bentuk cadangan-cadangan perlaksanaan polisi, struktur-struktur dan dasar-dasar yang berkepentingan masyarakat khususnya dalam pemulihan ekonomi.”
Dr Noor Nirwandy Mat Noordin
Beliau mengulas mengenai kemungkinan topik-topik menjadi tumpuan dalam perhimpunan tiga sayap UMNO, yang akan berlangsung serentak pada Khamis.
Selain itu, beliau tidak menolak saranan supaya topik Undi18 dibawa, khususnya dalam perhimpunan sayap Puteri dan Pemuda UMNO.
Jelasnya, pada masa kini, puteri dan pemuda UMNO perlu merangka strategi untuk menarik pengundi muda menyebelahi mereka, atau menukar pengundi muda ini kepada kebangkitan politik yang matang.

Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/