
Salah satu bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan
Kota Kinabalu, 18 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh masuk dan menangkap gamat secara haram di perairan Sandakan, kelmarin.
Seramai 12 individu warga Vietnam berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun turut ditahan untuk tindakan selanjutnya, dalam operasi berkenaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin, berkata kedua-dua kapal ikan milik warganegara Vietnam berkenaan dikesan masuk ke perairan Sandakan tanpa kebenaran.
Katanya, sebaik ditahan, semua anak kapal dan juragan terbabit terus diperiksa dan didapati tidak mempunyai sebarang keterangan diri yang sah.
Selain itu, kapal berkenaan tidak mempunyai kebenaran bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia secara sah dari Jabatan Perikanan Malaysia.
Menurut laporan hari ini, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat tersimpan dalam beberapa tong yang diperolehi secara haram.
Ahmad berkata, nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1.752 juta termasuk kedua-dua kapal yang dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 untuk juragan kapal dan Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 untuk peralatan perikanan.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah masuk ke negara ini,” katanya.
Ahmad Ariffin, Asisten Komisioner
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/