
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kepada pemimpin dan penyokong UMNO agar tidak keterlaluan dalam mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga dilihat mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Kita tunggu dulu. Kita dah kata dah. Ini semua perlu dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong.”
Perdana Menteri Malaysia
Menurutnya, semua pihak perlu menunggu perkara itu dibincangkan di peringkat pimpinan parti terlebih dahulu untuk memutuskan kewajaran mempercepatkan PRU-15.
“(Kalau) kita tetap tarikh kita sendiri, nanti Yang di-Pertuan Agong kata kita ambil alih kuasa baginda. Jadi, jangan kita (dilihat) ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Perdana Menteri diminta mengulas desakan beberapa pihak dalam UMNO yang menggesa PRU-15 disegerakan.
Desakan ini mula timbul selepas Barisan Nasional (BN) menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, yang menyaksikan parti itu menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/