
KUALA LUMPUR, 13 Sept 2021 -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang telah gagal berfungsi seperti yang diharapkan.
Oleh itu, Timbalan Presiden UMNO berpandangan, kerjasama Kerajaan dan Pembangkang perlu dinilai semula justeru tiba masanya Kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu MoU tersebut matang pada Julai ini.
Kenyataan Tok Mat itu susulan sesi Dewan Rakyat semalam menyaksikan usul Kerajaan untuk melanjutkan, antara lain, peruntukan seksyen 4(5) SOSMA 2012 telah gagal diluluskan, berdasarkan kiraan undi majoriti mudah.

“Kegagalan usul ini adalah sesuatu yang tidak dijangka. Ini menunjukkan sikap sambil lewa, bahawa rang undang-undang sepenting ini tidak di uruskan dengan strategik sebelum dibentangkan.
“Semua yang berlaku ini menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman Kerajaan dan Pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan,” katanya dalam muat naik di akaun Facebook miliknya, pada Khamis.
Tok Mat
Mengulas lanjut, Tok Mat yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme MoU sebegini adalah sangat berisiko.
Pakatan Harapan sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh di percayai dan jadi kebiasan mereka untuk memungkiri janji.
Tambahan pula, sesi Parlimen petang semalam membuktikan pihak pembangkang tidak teragak-agak untuk langgar pendirian dan janji mereka. Tok mat mempercayai, semua yang berlaku memberi tamparan hebat kepada Kerajaan dan merupakan peristiwa yang memalukan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/