
Abdul Jamal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Balik Pulau hari ini atas tuduhan membunuh teman wanitanya di sebuah rumah di Teluk Kumbar pada 3 April lalu. - Foto NSTP/Mikail Ong
BALIK PULAU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga teman wanitanya, awal bulan ini.
Tertuduh, Abdul Jamal Ahmad, 23, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Nur Diyanah Harris, 21.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di No 12A Lintang Kampung Masjid 3, Teluk Kumbar, di sini, antara jam 9 pagi hingga 5 petang pada 3 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
“Bagaimanapun, anda boleh melantik peguam dan memohon jaminan di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan, empat lelaki termasuk seorang Youtuber ditahan awal bulan ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita yang juga kekasih seorang daripada mereka.
Difahamkan, tertuduh pernah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney sebelum ini selain berkawan dengan YouTuber terkenal.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul oleh teman lelakinya sebelum meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat kesan lebam di kepala serta seluruh tubuhnya.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/