
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap Mohd Nazlan telah dimulakan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat diselesaikan dalam akaunnya.
“Ya, kami telah memulakan siasatan kami. Prosedur biasa yang kami lakukan ialah menyiasat apabila menerima laporan rasmi.
“Kertas siasatan dibuka kerana ada laporan dibuat dan bukannya dakwaan di portal atau media sosial.”
Tan Sri Azam Baki
Tambah Azam, siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya akan memutuskan sama ada untuk mencari dokumen berkaitan atau akan memanggil individu terbabit untuk disoal siasat.
Pada Khamis, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan media berkata dakwaan itu adalah palsu, tidak berasas, dan berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti Nazlan sebagai hakim, selain mengganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman.
Laporan polis itu juga dibuat supaya siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan dapat dijalankan.
Hakim Nazlan tidak ikut perlembagaan
Badan Peguam Malaysia pada Isnin berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah bercanggah dengan perlembagaan.
Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn berkata, siasatan itu melanggar doktrin pengasingan kuasa dan menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata terdapat mekanisme untuk menangani isu itu dan sebarang percubaan pihak tidak bertanggungjawab boleh dilihat menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan itu.
“Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan cara khusus di mana sebarang aduan salah laku kehakiman boleh ditangani dengan cara tertentu yang akan memastikan keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman berterusan.
“Tanpa keyakinan yang diperlukan terhadap Badan Kehakiman sebagai sebuah institusi, pentadbiran sistem kehakiman tidak akan mendapat penghormatan dan penerimaan penting untuk keberkesanan operasinya dalam pentadbiran kehakiman kita.”
Karen Cheah Yee Lynn
Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata Mohd Nazlan menafikan ‘dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat’ yang bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
Pejabat itu memandang serius dakwaan serta komen sedemikian dan mengingatkan orang ramai bahawa dakwaan terhadap Badan Kehakiman yang bertujuan mengganggu pendakwaan kes yang sedang dalam proses perbicaraan adalah melanggar prinsip sub judice.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/