
Fahmi Reza
KUALA LUMPUR: Pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara atas dua pertuduhan menghantar komunikasi lucah yang dimuat naik menerusi laman sosial Twitter dan Facebook miliknya, tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam N Yohendra yang mewakili Fahmi (45), semasa sebutan kes hari ini di hadapan hakim Mahkamah Sesyen M M Edwin Paramjothy.
Yohendra berkata, surat representasi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara semalam dan salinan asal representasi diserahkan kepada pihak pendakwaan, hari ini.
Dua dakwaan komunikasi lucah itu berkaitan isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi ke luar negara dan larangan penjualan minuman keras di negara itu.
Dalam prosiding itu, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan iaitu 7 dan 20 Julai bagi pertuduhan komunikasi lucah berhubung isu kuarantin menteri manakala 8 dan 9 Ogos bagi komunikasi lucah berhubung isu arak.
Mahkamah menetapkan 8 Jun sebutan perkembangan representasi.
Pada 10 Februari lepas, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah menerusi aplikasi Twitternya membabitkan isu kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi ke luar negara.
Fahmi didakwa membuat dan memulakan transmisi komunikasi alam dengan niat menyinggung perasaan orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan laman profil “Fahmi Reza” atau “@kuasasiswa” pada 3.02 petang, 10 Februari 2021.
Penghantaran itu kemudiannya dibacakan di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan, Presint 1, Putrajaya pada jam 4 petang, 11 Februari tahun sama.
Pada 17 Februari lepas, Fahmi didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen dan mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama berhubung isu pengharaman penjualan arak di negara ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja membuat dan memulakan transmisi komunikasi alam berhubung isu larangan penjualan arak di negara ini. Dengan niat menyinggung perasaan orang lain melalui laman Facebook menggunakan profil “Fahmi Reza” di 11.45 pagi, 1 Jun 2021.
Hantaran itu kemudiannya dibacakan di sebuah unit Pangsapuri Melur, Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul di sini, pada jam 9 pagi, 2 Jun 2021.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Akan dikenakan denda lagi. RM1,000 untuk setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/