
GEORGETOWN: Sudah tiba masanya polis pengiring kepada menteri, timbalan menteri atau wakil rakyat dimansuhkan, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, perkhidmatan itu hanya membuang masa dan menambah tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Menteri, timbalan menteri, dan wakil rakyat, serta kerabat mereka semuanya bukan raja. Mereka sudah ada pemandu, polis pengiring, jadi jangan sia-siakan tenaga PDRM untuk melakukan kerja ‘outrider’.”
Steven Sim Chee Keong
Beliau berkata demikian susulan video tular semalam mengenai dua pegawai trafik mengiringi orang ramai di Jalan Bukit Gambir, di sini.
Video berdurasi 20 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun anwarazeez itu menunjukkan seorang lelaki memandu kenderaan diiringi dua pegawai trafik menaiki motosikal polis.

Susulan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Polis Pulau Pinang telah membuka siasatan tatatertib terhadap dua pegawai trafik itu selain menjalankan siasatan terperinci.
Mengulas lanjut, Steven berkata, tidak kira siapa pun menjadi kerajaan, perkhidmatan berkaitan wakil rakyat perlu dihentikan.
Katanya, sekiranya khidmat polis pengiring hanya diperlukan bagi mengelak tersekat akibat kesesakan lalu lintas, perkara itu boleh diselesaikan dengan menjadualkan masa perjalanan.
“You (kamu) nak kejar masa, you keluar awal, jika tidak you selesaikan masalah kesesakan lalu lintas supaya semua pengguna jalan raya boleh sampai ke destinasi dengan selesa dan tak perlu outrider (polis pengiring).”
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/