
MOHAMAD Hasan ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Wacana Aaspirasi UMNO (WAU) sempena Ulang Tahun UMNO ke-76 yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
KUALA LUMPUR: UMNO diingatkan tidak menjadi institusi pegun dan terus menjadi parti politik yang bersifat syok sendiri meskipun sudah 76 tahun penubuhannya, hari ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, UMNO sentiasa mempunyai kelompongan dan kelemahan dalam pelbagai strategi, dasar dan iltizamnya kepada Malaysia dan bangsa berikutan parti itu merupakan parti politik.
Oleh itu, katanya, parti itu mesti membuka ruang seluas-luasnya kepada pelbagai pemegang taruh bangsa untuk menegur, mengkritik, membangun dan mempelopori pelbagai idea and kecerdasan baharu.
“11 Mei merupakan tarikh yang amat bermakna bukan sahaja kepada UMNO, tetapi kepada tanah air. UMNO bukan parti yang ditubuhkan di jalanan, parti radikal atau parti yang mengangkat senjata hanya untuk memerdekakan negara, tetapi, satu gagasan cendekiawan Melayu yang mahu kemerdekaan dengan cara aman dan berkompromi dengan semua kaum di negara kita.
“Jadi, UMNO telah berusia 76 tahun, satu umur yang amat matang yang melalui suka duka krisis demi krisis, tetapi masih lagi menjadi parti terbesar dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Apirasi UMNO (WAU) sempena ulang tahun UMNO ke 76.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, wacana itu merupakan inisiatif mengumpulkan semua pemegang taruh sama ada dari segi cendekiawan, belia mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu sama-sama memberikan pandangan dan idea.
Ia merupakan satu asas bagi terus membaiki dan memperkasakan kelemahan serta kelompongan parti bagi terus relevan dengan zaman.
“Saya ajak semua beri pandangan. Jangan malu jangan takut untuk bagi tahu apa pandangan mereka supaya dapat diambil maklum balas untuk memperbaiki dan menyusun strategi untuk UMNO terus melonjak menjadi parti dominan dalam negara.
“UMNO tak boleh sesama kita, jangan syok sesama sendiri. Buka minda, telinga dan jangan jadi sebuah parti yang pegun yang tidak mahu melihat serta mendengar.
“Perbincangan mesti dibawa semua. Pemegang taruh, NGO, belia atau sesiapa sahaja yang ingin menyumbang mahu melihat UMNO terus relevan dan boleh menjadi asas kuasa mentadbir negara,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/