
Malaysia sekali lagi mencipta sejarah selepas mendapat kepercayaan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebagai tuan rumah Sukan SEA edisi ke-34 pada 2027.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, mengucapkan terima kasih kepada ahli majlis SEAGF kerana sebulat suara meluluskan permohonan Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara sukan dwitahunan itu pada 2027.

“Ini berita baik untuk ahli sukan di Malaysia. Jadi, ia membolehkan negara kita bersedia dari segi kemudahan dan sudah tentu menggembirakan atlet kerana dapat bersaing di negara sendiri.”
Mohamad Norza Zakaria
Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata keputusan itu dibuat selepas Brunei menarik diri daripada acara 2027.
Selepas pandemik Covid-19 negara seperti Thailand (2025), Malaysia (2027), dan Singapura (2029) perlu mengaktifkan semula industri sukan, jadi tuan rumah inilah peluangnya.
“Walaupun negara lain berminat, mereka (SEAGF) memerlukan hos yang mempunyai kepakaran dan kemudahan serta cemerlang dalam penganjuran tema sebelum ini.
“Selepas ini, saya akan pulang ke tanah air untuk menyampaikan amanat ini kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Seterusnya, bekerjasama mencari jalan untuk melaksanakan persiapan selepas kita mempunyai tempoh lima tahun.”
Ini adalah kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965 apabila temasya itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).
Keputusan itu dibuat selepas ahli majlis (SEAGF) bersetuju dalam mesyuarat majlis yang diadakan di Hanoi pagi ini dengan pemilihan berdasarkan susunan abjad.
Mesyuarat itu turut memilih Singapura menjadi tuan rumah edisi ke-35 (2029) yang juga kali kelima buat negara jiran itu.
Keputusan untuk memilih tuan rumah bagi Sukan 2031 telah ditetapkan untuk membolehkan Laos mendapat kelulusan kerajaannya.
Sementara itu, Norza turut mengesahkan acara tukul selain membabitkan jaguh negara, Jacky Wong akan dipertandingkan mengikut jadual selepas empat atlet akan menyertai Sukan Sea Hanoi.
“Sebelum ini hanya dua orang termasuk Thailand dan tidak cukup atlet tetapi kini empat dengan penambahan seorang atlet negara manakala seorang lagi dari Kemboja.
“Begitu juga lontar peluru wanita, diteruskan seperti biasa membabitkan dua Atlet Thailand, seorang Indonesia, seorang lagi warga Kemboja, dan seorang wakil negara.”
Mohamad Norza Zakaria
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/