
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap adalah tidak wajar mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi menyuarakan kebimbangan bahawa kes jangkitan Covid-19 mungkin akan meningkat sekiranya pilihan raya diadakan ketika ini.
Menurut Dr. Mahathir, jumlah kes baharu harian Covid-19 kini meningkat kepada 3,000.
“Jadi kita kena ingat Covid-19 ini tidak mudah kita tepis dan mungkin ada di mana-mana sahaja. Jadi kita perlu ingat tentang prosedur operasi standard (SOP) supaya kita tidak diserang sekali lagi.
“Mungkin ada pula nama jenis (varian) baharu yang akan menyerang kita. Saya ingat belum sesuai untuk PRU. Kita harus berjaga-jaga.”
Tun Dr Mahathir Mohamad
Isnin selepas jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk, Pantai Chenang, beliau memberitahu perkara itu kepada media.
Dr Mahathir turut menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kita kena ingat apa berlaku di Sabah. Pada masa itu, jumlah kes rendah tapi bila diadakan PRN Sabah, maka berkembang penyakit itu,” katanya.
Beliau juga menyarankan orang ramai untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memakai topeng muka, mencegah penularan penyakit, dan mengelak berkumpul dalam kumpulan besar pada jarak dekat.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/