
HANOI: Kontinjen negara memerlukan sembilan lagi pingat emas untuk mencapai sasaran 36 emas selepas tamat hari ke-11 Sukan SEA Hanoi, semalam.
Hanya tinggal 5 hari
Berbaki lima hari sebelum temasya edisi ke-31 ditutup Isnin depan (23 Mei). Harapan peminat sukan tanah air pastinya mahu melihat kem negara dapat mencapai sasaran selepas pencapaian yang agak mendatar sejak beberapa hari lalu.
Beberapa acara akhir membabitkan atlet Malaysia seperti memanah, gimnastik seirama, berbasikal kriteria, angkat berat, dan karate dijangka memenangi emas.
Pada saingan semalam, atlet negara menyumbang empat pingat emas, empat perak dan lapan gangsa. Ini menjadikan jumlah kutipan kontinjen negara sebanyak 27 emas, 32 perak dan 63 gangsa kekal di kedudukan keenam.
Dua wakil negara yang membuat penampilan sulung pada temasya kali ini, C. Shahmalarani dan H. Sureeya Sankar tidak menghampakan apabila mereka meraih emas dalam acara kumite wanita bawah 55kg dan kumite lelaki bawah 67kg.
Skuad karate negara muncul pasukan paling cemerlang dalam penyertaan atlet Malaysia semalam apabila menyumbang dua emas dan dua gangsa.
Pingat gangsa acara karate disandang S. Prem Kumar dalam acara kumite bawah 60kg dan Muhammad Aiqal Asmadie dalam acara lelaki.

Pingat emas pertama negara semalam, disumbangkan skuad golf negara menerusi gandingan Ervin Chang, Marcus Lim Pang Chuen, K. Rhaasrikanesh, dan A. Nateeshvar (pemain simpanan) dalam acara berpasukan lelaki, sekali gus menamatkan tempoh 21 tahun kemarau emas dalam acara itu.
Pasukan golf wanita yang dibarisi Jeneath Wong dan Mirabel Ting turut cemerlang apabila meraih pingat perak selepas pasukan Thailand, pada perlawanan akhir.
Di kolam renang, selepas mengutip tiga pingat perak, perenang muda Khiew Hoe Yean mencipta sensasi dengan menghadiahkan pingat emas kepada kem Malaysia dalam acara 200m gaya bebas lelaki.
Acara lain yang menyumbang pingat kepada Malaysia semalam ialah memanah dengan satu perak dan tiga gangsa, menembak (1 perak), olahraga (1 perak, 1 gangsa), dan ping pong (dua gangsa).
Bagaimanapun, kem olahraga serba boleh negara tidak menyertai pertandingan semalam, apabila Malaysia gagal mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara selepas penyertaan Muhammad Azeem Fahmi dibatalkan dalam acara 100m lelaki.
Pencapaian Malaysia pada Sukan SEA sebelum ini
Malaysia mengungguli acara reben biru untuk dua edisi sebelum ini menerusi Khairul Hafiz Jantan pada 2017 di Kuala Lumpur dan Muhammad Haiqal Hanafi di Filipina pada 2019.
Penguasaan Malaysia dalam acara lompat tinggi lelaki Sukan SEA sejak 2005 berakhir apabila Nauraj Singh Randhawa memenangi pingat perak.
Malaysia telah memenangi pingat emas lompat tinggi lelaki dalam setiap edisi Sukan SEA sejak 1977, kecuali pada Sukan SEA 2005 di Manila yang menyaksikan Nguyen Duy Bang dari Vietnam memenangi emas.
Selepas tamat hari ke-11 Sukan SEA Hanoi, tuan rumah Vietnam kekal di tangga teratas carta kedudukan pingat dengan 126 emas, 76 perak, dan 74 gangsa.
Diikuti Thailand 53-59-80, Filipina 37-49-65, Singapura 37-39-49, dan Indonesia di tempat kelima dengan 36-49-49.

Selain beberapa acara menawarkan pingat emas membabitkan atlet Malaysia pada hari ke-12, tumpuan akan diberikan kepada skuad ‘Harimau Muda’, yang akan menerima kunjungan Vietnam yang juga juara bertahan pada separuh akhir bola sepak lelaki hari ini.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/