
PUTRAJAYA: Industri ternakan ayam memberi jaminan bahawa ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk pasaran tempatan.
Komitmen itu disuarakan oleh 12 pemain industri dan persatuan penternak seperti Leong Hup Poultry Farm Sdn Bhd, HLRB Broiler Farm Sdn Bhd, PWF Corporation Bhd, Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM), dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor ( PPANS) dalam sesi penglibatan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Isnin.
MAFI dalam satu kenyataan Selasa yang dikeluarkan, kementerian mengambil maklum semua isu yang dibangkitkan termasuk peningkatan pengeluaran ayam, masalah pertambahan berat ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca, proses Kebenaran Merancang (KM), dan lain-lain yang telah menjejaskan operasi dan seterusnya menjejaskan bekalan ayam.
Menurut kenyataan itu, isu berkaitan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada penternak turut dibincangkan.
DVS akan terus memudahkan dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi ayam itik bagi merancakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi meningkatkan pengeluaran domestik.
Sebelum ini, MAFI telah memudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.
Tindakan juga sedang diambil dengan pergerakan lebih ramai pegawai ke peringkat negeri bagi menyegerakan permohonan.
Tambah kenyataan itu, kerajaan menetapkan harga siling standard ayam pada RM8.90 sekilogram dengan subsidi RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan pada 5 Februari lalu.
“Subsidi diberikan bagi mengurangkan beban peningkatan kos pengeluaran ayam. Bagaimanapun, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar setakat ini.”
Menurut kenyataan itu, semua penternak yang layak diminta memohon supaya tuntutan dapat dikeluarkan dalam tempoh yang dijanjikan.
“MAFI akan terus mengadakan mesyuarat dan melibatkan diri dengan pihak industri yang memainkan peranan penting dan terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan ayam bagi memastikan kesinambungan pengeluaran terus terjamin.”
Kenyataan itu berkata kerajaan tidak akan berkompromi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyembunyikan, menyimpan, atau mensabotaj bekalan ayam di pasaran yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.
“MAFI sentiasa mengambil serius sebarang perkara yang mengancam keselamatan makanan negara . Kami akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan makanan negara kekal berterusan demi kesejahteraan keluarga Malaysia.”
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/