
SHAH ALAM: PAS mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan perbincangan dengan semua pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang bagi mencari penyelesaian terbaik bagi menangani kenaikan harga barang.
Ketua Penerangan PAS, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa yang menyeru semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah bagi mencari jalan penyelesaian.
Menurutnya, sidang khas parlimen juga perlu membincangkan isu mikro dengan mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian daripada ahli Parlimen yang lebih dekat dengan rakyat di kawasan mereka.
Mencadangkan bantuan tunai bulanan
Selain itu, PAS mencadangkan kerajaan menyasarkan bantuan tunai bulanan melalui kad pengenalan atau e-dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40 untuk membeli barangan keperluan harian.

“Langkah ini selari dengan prinsip Islam. Isu kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup yang merugikan rakyat ketika ini perlu diselesaikan segera.
“Krisis ini dijangka bertambah buruk sekiranya penyelesaian menyeluruh dan holistik tidak diambil oleh kerajaan dalam masa terdekat.”
Menurut Khairil Nizam, PAS yakin dengan kebijaksanaan dan kerjasama semua pihak. Isu itu dapat diselesaikan dan diselesaikan dengan baik.
Tambahnya, PAS menyeru semua pemimpin politik menyumbang idea dan tenaga bagi membantu kerajaan menyelesaikan kemelut itu.
Sumber: SinarHarian
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/