
Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing berjaya mencipta kejutan dengan mengenepikan lawan yang mempunyai ranking lebih baik daripada mereka iaitu adik beradik Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard pada pusingan pertama Malaysian Masters di Arena Axiata hari ini.
Beraksi di hadapan penyokongnya Anna-Mei Xing yang berada di ranking ke-37 dunia berjaya menewaskan lawannya 21-19, 21-17 dalam masa 38 minit.
Selepas menewaskan pasangan dunia ke-30, menanti mereka di pusingan kedua ialah gandingan Jepun yang juga pilihan kelima, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara atau Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad (Thailand).
Jika bertemu Matsumoto-Nagahara yang kembali beraksi di pentas dunia, ia akan menjadi perlawanan timbal balik selepas Anna-Mei Xing tewas kepada gandingan Jepun itu pada suku akhir Terbuka Malaysia, minggu lalu.
“Kami fikir tentang ranking atau apa-apa. Kami hanya menyediakan permainan kami kerana semua lawan dalam kejohanan ini sengit. Kerana itu, kami tidak mahu terlalu memikirkan (pasangan) yang lain.”
Mei Xing
Turut mengiringi mereka ke pusingan kedua ialah pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah yang mengenepikan pasangan India Treesa Jolly-Gayatri Gopichand 21-14, 21-14.
Nasib berbeza menimpa Low Yee Yuan-Valeree Siow dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selepas kedua-duanya gagal mara ke pusingan kedua apabila tewas kepada lawan masing-masing.
Yee Yuan-Valeree terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Indonesia, Febby Valencia Dwijayanti Gani-Ribka Sugiarto apabila tewas 12-21, 17-21.
Vivian-Chiew Sien terpaksa menerima hakikat bahawa dia tewas straight set apabila berdepan pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 17-21, 21-23.
Sementara itu, hasrat Yap Rui Chen-Yap Yee untuk mara ke undian utama tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain Thailand, Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul 16-21, 8-21 pada aksi kelayakan.
Sumber: Harian Metro
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/