
China beri keutamaan tingkat kerjasama dengan Malaysia
SERDANG: Malaysia akan terus mengukuhkan hubungan dengan China termasuk kerjasama perdagangan, mencari peluang pelaburan, dan menggalakkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Malaysia komited membina ‘jambatan’ dalam hubungan dua hala dan positif dengan semua negara khususnya China.
“Paling penting sudah tentu hubungan ekonomi antara Malaysia dan China.
“China telah menjadi negara perdagangan terbesar kami sejak 2009.
“Sebagai sebuah negara perdagangan, sudah tentu ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada ekonomi yang berkembang pesat seperti China.”
Perdana Menteri berkata demikian dalam teks ucapan pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China yang dibacakan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di sini malam ini.
Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, dan Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Ismail Sabri berkata hubungan perdagangan Malaysia-China tidak terjejas oleh pandemik COVID-19, walaupun berdepan pelbagai sekatan di seluruh dunia.
“Kita mungkin menjangkakan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara akan merosot berikutan pandemik COVID-19.
“Tetapi sebaliknya berlaku. Hubungan perdagangan antara Malaysia dan China telah berkembang secara purata 16 peratus sejak dua tahun lalu.
“Hasilnya, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara melebihi RM421 bilion.”
Ismail Sabri berkata hubungan ekonomi dengan China memberi peluang lebih besar kepada rakyat Malaysia.
“Ini menjadikan kita sebuah negara yang bukan sahaja mendapat manfaat dari segi kewangan tetapi dari segi kemahiran dan pengalaman.
“Bulan lepas, saya melawat Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk menyaksikan permulaan penggalian terowong sepanjang 16 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.
“Apa yang lebih menggembirakan saya, ECRL akan melibatkan 1,500 syarikat tempatan termasuk kontraktor, pembekal dan perunding.
“Saya berharap pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh daripada projek ini akan digunakan untuk projek akan datang.”
Beliau berkata kerjasama lain termasuk Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) turut memberi impak positif dengan mewujudkan 17,000 peluang pekerjaan.
Dalam tempoh hampir 10 tahun, katanya, MCKIP mencatatkan pelaburan terkumpul RM30.1 bilion untuk 19 projek.
Kerjasama dua hala pada masa hadapan
Menyentuh kerjasama dua hala selepas wabak itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Luar telah mengadakan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tertinggi pada Disember tahun lepas.
Beliau berkata beberapa kerjasama dua hala turut dipergiatkan.
“Melalui usaha ini, Malaysia yakin kedua-dua pihak akan mendapat lebih banyak manfaat daripada kerjasama dua hala pada masa hadapan.
Beliau juga menghadiri lawatan rasmi ke China.
Majlis makan malam bertemakan ‘Memperkukuh Persahabatan Malaysia-China Yang Lebih Teguh Pada Masa Hadapan’ itu dianjurkan oleh Pejabat Duta Khas Perdana Menteri ke China, bagi meraikan ulang tahun ke-48 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Untuk rekod, hubungan dua hala antara kedua-dua negara secara rasminya bermula pada 31 Mei 1974.
Sumber: BH
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/