
Rafizi Ramli berkata ahli PKR wajar memilih calon yang secara jelas menolak idea khemah besar.
PETALING JAYA: Rafizi Ramli menggesa ahli PKR memilih 20 calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi melengkapkan barisan kepimpinan sesi 2022-2025 dalam kalangan mereka yang menolak idea khemah besar.
Timbalan presiden PKR itu menyenaraikan barisan 25 calon MPP yang menolak idea itu dan mahu parti itu membina kekuatan termasuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Pengundian untuk memilih 20 ahli MPP bagi melengkapkan barisan kepimpinan PKR 2022-2025 akan berlangsung hujung minggu ini.
“Kita patut pilih calon yang menolak khemah besar. Kebanyakan ahli PKR di seluruh negara menolak khemah besar dan mahu PKR membina kekuatannya.
“Undilah calon yang konsisten menolak khemah besar.”
Rafizi Ramli
Beliau turut menyeru ahli memilih calon yang mempunyai kepakaran yang boleh digunakan untuk membina kekuatan parti.
“Kita harus menjauhi budaya melantik pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak bekerja atau tidak ada idea untuk memperbaiki parti. Pilihlah calon yang tidak pernah terpalit dengan episod yang membawa masalah kepada parti.
“Elakkan mengundi calon yang bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang mengkhianati parti, atau kumpulan yang membawa budaya buli/samseng yang menolak ahli parti baru-baru ini.”
Antara nama yang disenaraikan
Calon yang disenaraikan oleh Rafizi ialah MP Johor Bahru Akmal Nasir, aktivis pelajar Fahmi Zainol, MP Subang Wong Chen, MP Merbok Nurin Aina @ Nor Azrina Surip, MP Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, MP Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Sungai Siput Parlimen Kesavan Subramaniam.
Ahli Parlimen Hulu Selangor Jun Low Hsiad Hui, ADUN Bakar Arang Simon Ooi Tze Min, ADUN Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Mahamad dan ADUN Semambu Lee Chean Chung.
Turut tersenarai dalam kumpulan pro Rafizi untuk merebut jawatan MPP ialah pelakon Hans Isaac, Romli Ishak, Tan Kar Hing, M Anbarasan, Halim Bachik, Abdul Halim Hussain, Zahir Hassan, Che Zam Hamzah, Zinda Khalil Sastro Hassan, Zaidi Ahmad, Gopalakrishnan Subramaniam, Mohd Amin Abdul Mem, Raiyan Abdul Rahim dan Rusnah Aluai.
Rafizi bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas kumpulan dalam PKR yang mahukan khemah besar.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini telah menghantar parti itu untuk tidak membincangkan khemah besar itu.
Sumber: FMT
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/