
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menjangkakan undang-undang antilompat mula dilaksanakan menjelang penghujung Sept.
Katanya, undang-undang yang mengekang tindakan lompat parti oleh Ahli Parlimen itu akan diwarta pada tempoh berkenaan, sambil menegaskan rang undang-undang terbabit akan dibentangkan pada hari pertama persidangan Parlimen, Isnin depan, menurut The Borneo Post.
“Undang-undang itu sedia untuk dibentangkan. Saya mempunyai garis masa dan ia akan dibentang pada 18 Jul,” katanya kepada akhbar tempatan Sarawak itu.
Wan Junaidi berkata, beliau optimis rang undang-undang itu akan dibahaskan dengan jayanya dan diluluskan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan sebelum undang-undang antilompat berkuat kuasa.
Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan, berkata beliau berharap rang undang-undang antilompat akan dibentang dan dilaksanakan sebelum PRU15.
FMT sebelum ini, ada melaporkan beberapa “warlords” Kabinet cuba melengahkan pelaksanaan undang-undang berkenaan daripada diluluskan sebelum PRU15 sebagai “insurans” bagi mereka bertukar parti selepas pilihan raya demi kekal berkuasa.
Wan Junaidi juga membayangkan Parlimen mempunyai budi bicara untuk meluluskan rang undang-undang itu tanpa persetujuan Kabinet kerana rang undang-undang terbabit sudah diperhalusi susulan pelantikan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).
Menurut The Borneo Post, beliau berkata, PSC merupakan “instrumen Parlimen, justeru tidak perlu menjawab kepada cabang Eksekutif”.
Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, beliau akan menyerahkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mendapatkan konsensus daripada Kabinet.
Undang-undang antilompat merupakan satu daripada syarat utama terkandung dalam memorandum persefahaman antara Putrajaya dan Pakatan Harapan, pada Sept tahun lalu.
Undang-Undang terbabit sepatutnya dibentangkan pada Mac, namun ditangguhkan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/