
WAKIL rakyat, ketua kampung, dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk guru perlu memainkan peranan holistik bagi menangani isu keciciran pelajar dalam kalangan pelajar.
Masalah keciciran akibat kemiskinan bukanlah perkara baharu tetapi keadaan kini dilihat semakin serius terutama bagi penduduk di bandar.
Pada 2016, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan peratus kehadiran murid di sekolah rendah dan menengah khususnya di bandar semakin berkurangan berbanding sekolah luar bandar.
Sekolah harian yang mempunyai ramai pelajar daripada keluarga miskin seperti di Kuala Lumpur, kadar kehadiran antara 87 hingga 88 peratus berbanding 98 hingga 99 peratus bagi sekolah di luar bandar.
Pada 2020, kira-kira 40 peratus pelajar di Parlimen Lembah Pantai didakwa gagal ke sekolah kerana kepentingan kewangan ibu bapa yang kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid-19.
Lebih membimbangkan, sejak Mac 2020 hingga Julai 2021, seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah direkodkan akibat kemiskinan.
Berdepan dengan pasca Covid-19, tidak dinafikan taraf hidup rakyat khususnya di bandar semakin terhimpit dan statistik golongan miskin semakin meningkat.
Masalah keciciran pelajar tidak dapat dipulihkan apabila terdapat ibu bapa yang bersara dan tidak meneruskan sesi persekolahan anak kerana masalah kewangan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/