
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 14 syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi ditarik balik lesen dan dihadapkan ke mahkamah selepas dikesan menyeludup barangan itu ke negara jiran.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata ia adalah antara tindakan tegas dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi isu ketirisan minyak masak bersubsidi, yang dikesan dijual secara terbuka di Thailand.
“Kementerian tiada indeks ketirisan setakat ini, cuma kita sudah menarik balik lebih daripada 14 syarikat (pembungkus minyak masak bersubsidi).
“Ketika ini, kita dalam proses penghakiman di mahkamah berkaitan dengan isu ketirisan atau penyeludupan minyak masak ke negara jiran.
“Kita juga akan meneliti peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pembungkus minyak masak bersubsidi untuk memastikan mereka boleh menyumbang dalam mengatasi maslah ketirisan minyak ke luar negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/