
KUALA LUMPUR: Malaysian Association of Vape Entity (MOVE) memohon kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Akta Kawalan Tembakau dan Rokok 2022 kerana ia turut membabitkan vape dan produk alternatif rokok lain.
Organisasi yang memiliki kira-kira 52,000 ahli yang ditubuhkan dengan tujuan untuk mengawal selia industri vape Malaysia itu, berkata sekiranya akta itu diluluskan, ia menyaksikan pertambahan penggunaan rokok seludup.
“Seperti yang kita sedia maklum, rokok seludup ini harganya jauh ebih murah dan boleh dibeli dengan mudah. Bahkan, cara pembuatannya juga diyakini tidak memenuhi standard pembuatan rokok.
“Pendapatan kerajaan juga akan pasti terjejas berikut dengan teruk dengan penularan rokok seludup di pasaran negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Di samping itu, dakwanya akta itu jelas tidak mengendahkan langsung hak pengguna untuk memilih gaya hidup mereka sendiri.
“Justeru, kami amat berharap agar Ahli Parlimen mendengar rayuan dan rintihan kami.
“Kami menyokong jika langkah Generation End Game (GEG) dihadkan hanya untuk rokok biasa dan kami bersetuju industri vape ini memerlukan peraturan, namun kami sebulat suara menolak sekeras-kerasnya cadangan untuk vape dan produk alternatif rokok lain daripada menjadi sebahagian daripada GEG.
Katanya, pihaknya memohon kerajaan mengambil kira pandangannya dalam merangka dasar.
Menurutnya lagi, langkah yang wajar dilaksanakan adalah mewujudkan kesedaran umum dan mendidik masyarakat umum tentang alternatif untuk merokok seperti vape dan produk tembakau serta memupuk etika yang betul dalam kalangan pengguna.
“Kami mewakili pengguna-pengguna vape di Malaysia ingin kebimbangan kami ekoran pembentangan Akta Kawalan Tembakau dan Rokok 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat hari ini,” katanya.
MOVE berkata, kajian saintifik telah terbukti menunjukkan bahawa alternatif kepada produk tembakau seperti vape adalah lebih selamat dan berupaya membantu pengguna untuk berhenti merokok.
“Selain daripada faktor kesihatan, pertambahan kepada penggunaan vape juga adalah didorong oleh harga rokok yang sangat tinggi di Malaysia.
“Rakyat kini sudah sekian lama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, dan dengan mengawal selia produk alternatif tembakau seperti vape sama seperti pengawal seliaan rokok, ia semestinya akan menambahkan kesengsaraan rakyat,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/