
Tai Siong Jiul, Calon Perikatan Nasional (PN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, mahu membuktikan pemilihannya sebagai ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat membawa budaya baharu.
Beliau mahu membuktikan bahawa agenda Bersatu dan PN sebenarnya lebih besar, iaitu demi kesejahteraan, perpaduan dan kemakmuran semua bangsa di negara bukan hanya agenda Melayu dan Bumiputera.
Biarpun beliau diibaratkan muka baharu dalam arena politik, namun penglibatan dan pengalamannya dalam khidmat bakti akan digunakan sebaik mungkin sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat Machap Jaya.
“Saya berasa sangat bangga, lagipun saya rasa ini era politik baharu dan ia akan membawa sesuatu lebih baik dalam menyuburkan demokrasi untuk meneruskan perjuangan saya bagi membela nasib rakyat,” katanya.
Siong Jiul, 54, menghadapi saingan lima penjuru di DUN Machap Jaya dengan pencabarnya terdiri daripada Ngwe Hee Sem dari MCA-Barisan Nasional; Law Bing Haw (PKR-Pakatan Harapan); Abdul Aziz Osani Kasim (IMAN) dan Azlan Daud (BEBAS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kerusi Dun Machap Jaya dimenangi Ginie Lim ketika bertanding di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 1,336 undi pada pilihan raya umum lepas.
Siong Jiul mengaku memahami masalah penduduk Machap Jaya, memandangkan beliau merupakan anak jati, lahir dan menerima pendidikan awal di kawasan itu.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah mengenai isu tanah dalam kalangan pekebun-pekebun kecil seperti isu pajakan yang menghampiri tempoh tamatnya antara lima hingga enam tahun lagi, tegasnya lagi.
“Saya lihat masalah utama di Machap Jaya… tanah itu adalah punca pendapatan utama mereka. Ada yang menoreh getah, pertanian, ada kelapa sawit dan sebagainya.”
“Dan tarikh tamat pajakan dari kerajaan negeri sudah dekat, bermakna tinggal empat lima tahu lagi. Mereka selalu bagi tahu saya, tolonglah tengok, macam boleh bantu untuk teruskan pajakan ini,” katanya lagi.
Siong Jiul optimis dengan adanya manifesto, beliau dapat membantu bukan sahaja pengundi kaum Cina yang merangkumi 60 peratus kawasan Machap Jaya tetapi juga kaum-kaum lain.

Keputusan parti meletakkan calon dari kalangan sayap bersekutunya untuk PRN Melaka menunjukkan komitmen parti itu kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
‘Game-changer’ merupakan langkah untuk mengenepikan pandangan negatif bahawa parti itu terlampau berpusatkan Melayu dan Islam, katanya lagi.
Berharap dengan pencalonan Siong Jiul untuk DUN Machap Jaya dapat meyakinkan rakyat Melaka dan Malaysia bahawa parti itu mahu ke hadapan untuk mewujudkan budaya politik baharu di negara ini.
“Saya harapkan Siong Jiul beroleh kejayaan mencatat budaya baru dalam politik. Ramai pihak menuduh Bersatu, agendanya terlalu chauvinis Melayu. Ingin membuktikan ada bukan Melayu yang menjiwai perjuangan inklusif Bersatu.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/