
Kennedy Chukpai Ugon Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum tidak risau dengan saingan yang bakal didepani sekiranya dia kekal bertanding di DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Beliau berkata walaupun banyak parti baharu yang muncul dan akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, beliau optimis rakyat akan membuat penilaian yang tepat.
Malah untuk PRN12 ini beliau menjangkakan akan lebih sengit oleh kerana banyak parti-parti baharu yang akan ikut bertanding.

Beliau juga mengulas mengenai PRN11 yang lalu, beliau bersaing dalam saingan empat penjuru melibatkan PKR, DAP dan Bebas tetapi beliau berjaya peroleh kemenangan.
“Secara jujurnya, saya tidak risau kerana penggal yang lepas dari tahun 2016 kita telah memberi perkhidmatan yang terbaik dan saya yakin dengan apa yang kita telah laksanakan,” katanya ketika ditemui di Bintulu pada Isnin.
Baginya antara cabaran lain pada PRN kali ini adalah penggunaan logo GPS buat kali pertama.Namun ia tidak akan sesekali menjejaskan keupayaan GPS untuk meraih lebih banyak kemenangan.
Beliau berkata kali ini mungkin senarionya agak berbeza kerana inilah kali pertama mereka menggunakan lambang parti mereka sendiri.
“Bagaimanapun rakyat negeri Sarawak khususnya di DUN Murum tahu apa yang telah kita laksanakan selama ini dan penggunaan logo ini bukan satu masalah,” tambahnya lagi.
Pengerusi GPS iaitu Abang Jo mengumumkan Chukpai akan kekal dicalonkan dalam PRN12 kerana Chukpai merupakan penyandang kerusi Dun Murum sejak 2016.
Ikuti perkembangan terkini dan juga berita-berita sensasi di dalam dan juga luar negara hanya di https://mysmedia.my/