
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kes COVID-19 didapati meningkat angkara banjir selepas saringan di pusat pemindahan sementara (PPS) telah merekodkan 181 kes positif.
Berdasarkan hasil saringan setakat 11 pagi hari ini, selain daripada kes selangor yang membabitkan 117 kes positif, di Pahang terdapat (52) kes, Kelantan (6), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4) dan kes sebelihnya di Melaka dan Negeri Sembilan.
Menurut Khairy Jamaluddin, beliau berkata kebanyakan kes positif melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 yang merupakan golongan tidak mempunyai gejala atau menunjukkan gejala ringan.
Tambahan lagi, beliau mengatakan semua individu terbabit dipindahkan ke lokasi tertentu, seperti di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan berkaitan PPS khusus.

“Berikutan kes positif ini, kita mendapati ada 206 kontak rapat dan mereka semua juga dipindahkan ke PPS khusus, PKRC, stesen kuarantin atau hospital.
“Justeru, KKM memang menjangkakan berlaku peningkatan kes disebabkan bencana banjir, dengan mengambil kira keadaan proses pemindahan yang terpaksa dibuat dalam risiko tinggi.
“Maka, ada langkah kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana keutamaan kita ialah untuk menyelamatkan mangsa banjir, sehingga kadang kala tidak memakai pelitup muka.
“Bagaimanapun, kita bersiap sedia dengan risiko kenaikan kes disebabkan bencana banjir ketika ini, dengan menambah baik aspek sistem kesihatan awam dan kesiapsiagaan di semua negeri,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Berikutan dengan itu, keadaan banjir semakin teruk telah membabitkan beberapa negeri di pantai timur dan disebabkan itu, Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa KKM mengambil keputusan untuk menambah pasukan di kawasan terbabit.
Untuk memastikan risiko penularan jangkitan terkawal khususnya di PPS, beliau berkata, KKM setakat ini mempunyai 281 anggota pasukan di Pahang bagi membantu usaha kawalan kesihatan awam.
“Kita akan teruskan dengan saringan di PPS supaya dapat kenal pasti mereka yang positif COVID-19 dan kontak rapat bagi tujuan pengasingan di lapangan.
“Selain itu, bekalan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman giat diedarkan ke semua PPS sejak dua hari lalu,” – kata Khairy Jamaluddin.
Sentiasa menginovasi dan menginspirasi, berita dan banyak lagi di portal mysmedia.my