
Pasukan Cantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke kawasan terjejas banjir bagi memantau kes kecurian kenderaan yang tersadai akibat bencana banjir. Kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Kita gerakkan pasukan cantas ini dan akan tangkap mereka yang terlibat mencuri kenderaan mangsa banjir…pasukan ini bukan hanya di satu kawasan tetapi di semua tempat terjejas banjir,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan pasukan itu akan menjalankan siasatan berhubung kecurian kereta rosak akibat banjir termasuk kes kecurian menggunakan trak tunda.
Tambahan pula ia tular di media sosial tentang kegiatan curi kenderaan mangsa banjir termasuk melibatkan trak tunda yang didakwa cuba membawa lari kereta-kereta yang tersadai.
Kes kecurian di beberapa premis di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor sedang disiasat secara terperinci kerana semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati berlaku kecurian melibatkan barangan bukan keperluan asas.
“Memang ada yang reda dan halalkan, tetapi bila lihat CCTV, ada yang ambil barangan bukan makanan seperti aksesori telefon, rokok, arak dan benda lain…ini adalah kes kecurian dan menyebabkan kerugian kepada peniaga,” katanya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai 31 warga asing ditahan susulan insiden pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan Taman Sri Muda dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal mysmedia.my