
Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Kira-kira 100 penduduk Taman Sri Nanding terperangkap sambil berzikir dan berdoa di atas bumbung Surau Al Munir Taman Sri Nanding selama 12 jam pada Sabtu minggu lalu.
Apabila ditanya berkenaan detik cemas banjir di sana kepada Zahrin Nordin, beliau terbayang-bayang kejadian itu ketika bersama isteri dan anaknya yang kurang upaya berlindung di atas bumbung surau dan dikelilingi banjir yang mengalir deras.
Kejadian berlaku apabila Zahrin pulang ke rumah selepas habis solat Isyak di surau, beliau terpaksa bersiap dengan pantas dan membawa keluarganya kembali ke surau kerana banjir sudah masuk ke kawasan perumahannya.

“Biasanya, banjir tidak masuk ke surau kerana kawasannya agak tinggi, namun keadaan luar biasa berlaku apabila air naik dengan pantas sehingga ke paras dada.
“Sekitar jam 11 malam, saya bersama puluhan lagi penduduk yang berlindung di surau terpaksa naik ke atas bumbung kerana air naik terlalu tinggi. Kebetulan, ada tangga di surau yang boleh digunakan.
“Sekitar jam 12 tengah malam, air banjir di dalam surau sudah melepasi paras kepala dan saya naik ke atas bumbung surau dengan cepat.
“Ketika itu, ada sekitar 100 orang di atas bumbung, termasuk warga emas berusia 70 tahun ke atas, penduduk yang terlantar, orang kurang upaya, anak kecil, wanita mengandung serta yang baru 26 hari melahirkan anak,” – kata Zahrin ketika ditanya di Taman Sri Nanding.
Beliau juga ada mengatakan bahawa penduduk yang cemas akibat banjir hanya mampu berzikir dalam keadaan hujan renyai sepanjang malam manakala bantuan yang dihubungi tidak dapat tiba ketika itu kerana air banjir yang terlalu deras.
Penduduk yang berlindung di atas bumbung surau itu tidak mampu bertahan dengan lebih lama, kerana terdapat 100 orang di atas bumbung itu yang memerlukan bantuan sebelum banjir yang deras membaham mereka jika bumbung surau itu runtuh.
“Ketika itu banjir nampak macam sungai, air mengalir amat deras. Sepanjang malam, kami duduk berzikir dan berdoa supaya semua selamat.
“Keesokan harinya, bot penyelamat sampai sekitar jam 10 pagi ketika air sudah mula surut ke bawah paras dada, sebelum kami di bawa ke Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding untuk berlindung dan diberi makanan, iaitu biskut sekitar jam 12 tengah hari.
“Alhamdulillah, tiada yang meninggal dunia di taman ini, walaupun saya mengalami kerugian antara RM20,000 hingga RM30,000 akibat kerosakan barangan elektrik, perabot dan kenderaan,” – katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dusun Nanding, Kamarudin Alias, berkata penduduk yang berlindung di surau bernasib baik kerana bumbung surau itu terdapat tangga yang ditinggalkan oleh kontraktor yang pernah membaiki bumbung tersebut.
“Minggu sebelum banjir, kita baru baiki surau dan kontraktor tinggalkan tangga di situ. Tangga itulah yang digunakan penduduk, termasuk yang berkerusi roda dan terlantar untuk panjat ke atas bumbung.
“Ini semua aturan Allah. Jika bumbung itu tidak dibaiki, belum tentu ia dapat menampung hampir 100 orang di atasnya,” – katanya.
Sentiasa menginovasi dan menginspirasi, berita dan banyak lagi di portal mysmedia.my