
Parti PAS menghantar sehingga 3,937 sukarelawan untuk bertugas di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Selangor sejak hari pertama sehingga ke hari ini.
Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kehadiran mereka yang diselaraskan oleh Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) dapat mengurangkan penderitaan mangsa banjir, terutama pada peringkat pasca banjir yang memerlukan banyak kerja pembersihan.
Semalam mencatatkan kehadiran sukarelawan yang paling ramai iaitu seramai 1,420 orang dengan 610 orang memberi khidmat bakti di kawasan Kota Raja, terutama Taman Sri Muda kawasan paling teruk terkesan akibat bencana ini.
“Keperluan sekarang ialah membersihkan pelbagai jenis barang yang tidak boleh digunakan lagi seperti perabot. Ini memerlukan tenaga yang ramai dan difahamkan bahawa selepas ini, kerajaan negeri akan mengambil alih kerja mengambil sampah di tepi jalan,” katanya.
Tambahan pula, masih ada beberapa kawasan mengalami keadaan banjir iaitu di Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat dan keadaan itu menyebabkan kerja pembersihan di kawasan terbabit tidak dapat dijalankan.
Kerja pembersihan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan tenaga sukarelawan datang dari negeri lain dan juga kawasan lain di Selangor yang tidak terbabit dengan banjir.
Pesuruhjaya PAS Kedah bukan sahaja menghulurkan bantuan kewangan untuk membantu PAS Selangor dalam kerja membantu mangsa banjir tetapi menghantar lebih 300 sukarelawan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal mysmedia.my