
Mangsa banjir dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan janji manis sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai Ah Long yang menawarkan pinjaman segera kerana risau ia akan menimbulkan banyak masalah.
Ketua Biro Aduan Awam MCA Klang Datuk B.K Tan berkata, tindakan meminjam daripada ah long bukan penyelesaian terbaik malah ia akan menambahkan lagi beban kepada peminjam.
Beliau menerima banyak aduan daripada mangsa banjir yang didatangi Ah Long yang menawarkan pinjaman kepada mereka.
“Ada di antara mangsa banjir mendakwa ah long bertemu mereka dan menawarkan pinjaman sehingga mereka hampir terpedaya,” katanya.
Pihak Polis juga telah menggerakkan beberapa anggotanya untuk memantau aktiviti sindiket pinjaman wang tidak berlesen ini yang telah mengambil kesempatan di beberapa kawasan banjir di Selangor.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, kesemua sumber digerakkan bukan sahaja membantu masyarakat dalam pasca banjir malah membanteras sindiket ah long yang semakin berleluasa.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/