
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah kompleks beli belah di Solaris, Kuala Lumpur selepas tamatnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember lalu dan berjaya menahan seramai 13 orang warga asing.
Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia menyerbu lokasi itu pada jam 3:00 petang dengan anggota seramai 38 orang Pegawai Imigresen dan telah memeriksa 60 orang warga asing terdiri dari pelbagai warganegara yang berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun.
Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat. Premis tersebut kebanyakkan mengambil orang asing bekerja sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan juru jual.
Siasatan mendapati bahawa kesemua warga asing ini digajikan oleh majikan warga tempatan dan terdapat juga warga asing yang sudah mendaftar untuk Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan.
Semasa serbuan dijalankan, warga asing juga cuba bertindak pantas dengan menukar pakaian seragam yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa, tetapi tidak berjaya.
Seramai 13 orang lelaki warganegara India telah ditangkap kerana kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa dan seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/