
Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya sudah memulakan proses bedah siasat berhubung prestasi hambar skuad kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura yang berlangsung pada bulan lepas.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan badan siasatan yang dipengerusikan bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur iaitu Datuk Dell Akbar Khan.
Agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat sulung itu ialah terma rujukan badan itu dalam mengumpul dapatan dan menilai laporan prestasi pasukan yang disediakan oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan pelantikan Dell Akbar yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung FAM sebagai Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya pada 7 Jan lalu.
Malaysia gagal mara ke pusingan separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, setelah mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki perlawanan kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.
Ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe meletak jawatannya dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukan.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/