
Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan kepada kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Penubuhan RCI itu untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Tambah beliau, pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi turut mendapat perkenaan dari Seri Paduka.

Lima lagi ahli RCI iaitu bekas Ketua Setiausaha Negera Tan Sri Samsudin Osman, Tan Sri Abdul Rashid Hussain (Pengasas Kumpulan RHB), Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid (bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad).
Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim (Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah) dan Norsyahrin Homidon (Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia).
Jelas Junaidi, ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.
Tambah beliau, keenam ahli RCI yang dilantik telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.
Pelantikan ahli RCI itu akan berkuat kuasa bermula esok sehingga 19 Julai ini dan suruhanjaya itu akan diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal mysmedia.my