
Tiada surat permohonan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diterima oleh Pejabat Speaker DUN Johor.
Pembubaran DUN itu untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam jangka masa terdekat.
Perkara tersebut disahkan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizam Kaiat pada hari ini selepas tular di media sosial susulan sebuah portal mendakwa bahawa beliau telah menerima surat tersebut dan menyatakan PRN akab berlangsung tidak lama lagi.
Walau bagaimanapun, Suhaizam menafikan kenyataan tersebut dan berkata bahawa makluman portal berkenaan tidak benar.
Terdahulu, sebuah portal mendakwa bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah menghantar surat permohonan pembubaran DUN kepada Pejabat Speaker DUN Johor semalam.
Khabar angin tentang PRN Johor semakin hangat berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada bulan lalu yang menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.
Buat masa ini, DUN Johor diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO sebanyak 14 kerusi, Bersatu 11 kerusi, MIC dua kerusi dan PAS satu kerusi.
Pakatan Harapan (PH) pula memiliki 27 kerusi yang merangkumi DAP 14 kerusi, PKR tujuh kerusi dan Amanah sebanyak enam kerusi.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan hanya melayari portal http://mysmedia.my/