
Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu telah menyuarakan hasrat bahawa tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Walau bagaimanapun, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bahawa perkara tersebut terserah kepada pimpinan Bersatu.
Tambah Muhyiddin, beliau sekarang mahu memberikan tumpuan kepada pentadbiran di peringkat pusat dan pengurusan parti.
“Saya mungkin tidak akan bertanding, tetapi terserah kepada pimpinan di atas sebab mahu menumpukan sepenuh masa pada soal yang lebih utama iaitu di peringkat Parlimen atau pusat dan menguruskan parti serta menyampaikan mesej perjuangan kita (PN) dan sebagainya.
Tambah Muhyiddin, beliau memberikan peluang kepada tokoh-tokoh di Johor untuk mengisi di kerusi DUN berkenaan nanti.
Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Bersatu sedia untuk menampilkan calon-calon muda dalam PRN Johor kali ini yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.
“Tetapi itu belum muktamad, di peringkat awal, nanti bila senarai calon itu dikemukakan baik oleh Srikandi, Armada, anak muda dan parti-parti gabungan, saya rasa kita perlu beri perhatian kepada perkara itu, insya-Allah,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal mysmedia.my