
Pelancong dari Eropah khususnya United Kingdom menunjukkan minat tinggi untuk datang bercuti ke Malaysia apabila pintu sempadan negara dibuka 1 April ini. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Apabila pintu sempadan negara dibuka 1 April ini, Pelancong dari Eropah khususnya United Kingdom menunjukkan minat tinggi untuk datang bercuti ke Malaysia.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata pembukaan sempadan negara juga dapat reaksi positif daripada pelancong India serta negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.
“Jadi, kita akan terima kedatangan pelancong secara berperingkat, mungkin pelancong dari negara Eropah khususnya United Kingdom yang membenarkan rakyat keluar melancong dan pada masa sama boleh menerima kemasukan pelancong luar ke negara mereka.
“Sejak sebulan lepas, kita memang menerima banyak pertanyaan menerusi media sosial daripada pelancong Eropah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian MATTA Fair Kelantan 2022 di sini pada Khamis.
Iskandar Mirza
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia (MATTA) Mohd Akil Mohd Yusof berkata pembukaan sempadan pada 1 April dapat mencapai sasaran kemasukan kira-kira dua juta pelancong dari luar negara ke Malaysia pada tahun ini.

“Semasa pelaksanaan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi, memang majoriti pelancong adalah daripada negara Eropah.
“Apabila pintu sempadan dibuka pelancong daripada Thailand, Singapura, Indonesia dan Timur Tengah juga dilihat berminat untuk datang bercuti ke Malaysia.
“Insya-Allah, semua ahli MATTA sudah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong, malah sasaran dua juta pelancong mampu dicapai,” katanya.
Mohd Akil
Mohd Akil berkata MATTA dan Tourism Malaysia berharap agar syarikat penerbangan antarabangsa memulakan semula penerbangan serta menambah kekerapan keluar masuk ke negara ini, sebagai membantu usaha pembukaan sempadan negara. – BERNAMA
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/