
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini mengumumkan bersedia membantu prosiding penderaan Bella dengan bekerjasama dengan peguam Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Perkara itu didedahkan di laman sosial Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun. Jelasnya dalam kenyataan itu, Kementerian menyambut baik pelawaan Tunku Ismail yang berkenan menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM.
“Titah Tuanku yang berkenan menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes ini amatlah bermakna buat pihak Kementerian dalam memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat adik Bella.
Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh Tuanku.”
Datuk Seri Rina Mohd Harun
Tambahnya lagi menerusi kenyataan yang dimuat naik ke Instagram itu, pihaknya bersedia untuk menghadap Tunku Mahkota Johor serta isteri bagi membincangkan tawaran perkhidmatan peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan remaja berkenaan.
Datuk Seri Rina Harun mengakhiri kenyataan rasmi itu supaya orang ramai sama-sama mendoakan agar perbicaraan kes penderaan adik Bella dipermudahkan dan kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan pada akhir perbicaraan.
Untuk makluman, baru-baru ini TMJ telah menyuarakan sokongan kepada #justiceforbella dan menawarkan khidmat peguamnya secara percuma untuk menjalankan pemantauan bagi pihak KPWKM.
Ini susulan kenyataan isteri TMJ, Che ‘Puan Besar Khaleeda Bustaman, menyatakan keazamannya untuk menggunakan segala kuasanya bagi memastikan keadilan ditegakkan dalam perkara dakwaan penderaan adik Bella di tangan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/